Suami Perlu Hargai Isteri Demi Hidup Harmoni

Assalamualaikum and hi.

Gambar sekadar hiasan


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah bahawa Dia menjadikan bagi diri kamu pasangan supaya kamu dapat hidup harmoni di sampingnya dan Allah menjadikan dengan sebabnya kasih sayang dan rahmat sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)
Hari ini kadar perceraian dalam kalangan pasangan berkahwin di Malaysia begitu tinggi.
Alam perkahwinan amat berbeza dengan alam percintaan. Ketika bercinta, semuanya penuh perkara indah belaka.
Ketika bercinta juga, hampir semua perkara mengenai si dia baik belaka.
Hanya selepas bernikah, baru nampak ‘wajah’ sebenar pasangan masing-masing. Suami zaman ini ramai yang kurang dan tidak menghargai isteri.
Setengahnya menggunakan hujah agama untuk menundukkan isteri. Dipetik nas agama dan ditafsirkan menurut kemahuan sendiri. Disuruh isteri melakukan segala kerja rumah sedangkan suami bergoyang kaki sambil menghadap telefon.
Menjadi rutin isteri sejak awal pagi lagi sudah bangun untuk menyediakan sarapan. Selepas itu, dia pergi menghantar anak sekolah sebelum pergi kerja.
Di tempat kerja, isteri terpaksa pula menghadap pelbagai ragam daripada majikan dan rakan sekerja. Setibanya di rumah, tugasan belum berakhir. Kerja rumah menanti seperti memasak, mengangkat dan melipat pakaian.
Pakaian kotor untuk hari berkenaan juga perlu dibasuh. Selanjutnya, juadah makan malam tetap perlu disediakan dan prosesnya bukan sekejap.
Jika masak lebih kurang, anak dan suami akan merungut. Selepas solat Maghrib, dia perlu disiplinkan anak mengaji al-Quran dan selepas itu membantu menyiapkan kerja rumah anak-anak.
Pada tengah malam, apabila anak kecil menangis dan meragam, maka tidak tidur si isteri hampir sepanjang malam. Kepada suami, isteri kita tidak mengharapkan intan atau permata, bahkan kebanyakan para isteri pada zaman ini mempunyai sumber kewangan sendiri.
Apa yang mereka harapkan adalah penghargaan dan sokongan suami. Apabila isteri memasak, sekurang-kurangnya temankan dia di dapur sambil boleh bantu memotong daging dan sayur.
Hakikatnya, berlaku dalam masyarakat kita sesetengah lelaki yang berjaya dalam kerjaya mudah beralih arah mencari wanita lain. Segala perkara mengenai isteri menjadi buruk belaka manakala yang elok hanya cinta barunya.
Banyak juga kes berlaku apabila dalam kesusahan seperti lelaki ditimpa penyakit, isteri muda akan meninggalkan suaminya. Maka, pulang semula suami ke pangkuan isteri pertama.
Ingatlah, jika hendak berlaku curang kenang kembali siapa yang bersama ketika kita belum berpangkat dan berduit seperti sekarang.
Hargai isteri ketika kasih sayangnya masih kuat kepada kita. Usah pada satu masa, cinta dan kasihnya kian pudar dan ketika itu pujuk rayu kita padanya tidak lagi bermakna.
Dalam firman yang bermaksud: “Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu daripada isteri-isteri kamu itu anak-anak dan cucu-cucu dan memberikan rezeki daripada yang baik-baik.” (Surah an-Nahl, ayat 72)
Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Sumber: HMetro

0 person:

Post a Comment